Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum
wbt, pada hari ini, saya akan berkongsi sedikit tentang
ibadah puasa. Saya memilih untuk berkongsi tentang tajuk ini memandangkan kita sedang berada di dalam
bulan mulia ini dan kita telahpun sampai ke pertengahan Ramadhan.
Puasa membawa
maksud menahan lapar dan dahaga bermula dari terbit fajar hingga terbenamnya
matahari disertakan dengan niat. Berpuasa bagi saya sendiri bukanlah
semata-mata menahan lapar dan dahaga terutamanya godaan terhadap nafsu makan,
akan tetapi berpuasa ialah bagaimana kita berusaha menjauhkan diri daripada
perkara-perkara yang menjauhkan kita daripada Allah SWT. Bulan puasa ini juga
boleh menjadi titik perubahan dalam diri seseorang jika mereka terus istiqomah
dalam melakukan amal kebaikan walaupun setelah tamatnya sebulan berpuasa.
Marilah kita
berlumba-lumba dalam melakukan amal ibadah seperti memperbanyakkan bacaan
al-Qur’an, berzikir, bangun di sepertiga malam untuk bertahajud serta menunaikan
solat sunat terawih yang hanya dapat ditemui pada bulan ini. Menolong ibu di
dapur untuk menyediakan juadah berbuka serta melakukan kerja rumah juga
merupakan satu contoh perkara baik yang boleh kita amalkan. Hal ini kerana,
pada bulan Ramadhan ini, pahala dilipat gandakan bagi setiap kebaikan yang kita
lakukan. Ini secara tidak langsung dapat mendidik kita supaya beramal dengan
kebaikan serta melawan hasutan hawa nafsu.
Para sahabat sekalian, bulan puasa ini juga mengajar kita untuk menjadi
seorang yang lebih penyabar dan berdisiplin. Tambah-tambah lagi pada tahun ini,
kita berpuasa dalam keadaan sedang menghdapi wabak Covid-19 dan terpaksa
melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Bagi saya, ibadah puasa
pada tahun ini tidak kurang seronoknya walaupun berbeza seperti tahun-tahun
sebelumnya. Pada tahun ini, kita dapat merasa suasana menunaikan solat sunat
terawih secara berjemaah di rumah. Dalam menjalani ibadah puasa dengan keadaan
PKPB ini, saya merasakan bahawa hubungan kekeluargaan dapat dieratkan walaupun
sesetengahnya terpaksa berjauhan atas faktor-faktor tertentu.
Sebelum saya
bercakap lebih banyak lagi, izinkan saya mengongsikan sepotong ayat daripada surah
al-Baqarah, ayat yang ke-184:
A’uzubillahiminassyaitanirrajim,
وَأَن تَصُومُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ
تَعْلَمُونَ
Ayat yang
telah saya kongsikan sebentar tadi membawa maksud,
“Dan berpuasa
itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui.”
Ayat ini
menjelaskan bahawa lebih afdhal berpuasa bagi sesiapa yang tidak ada sebarang
masyaqqah dan puasa itu tidak membawa mudarat kepada dirinya, maka berbuka
adalah lebih afdal baginya.
Dalam
berpuasa, kita juga diberi keringanan untuk berbuka dalam beberapa keadaan
tertentu seperti bermusafir. Dalam keadaan bermusafir, berpuasa adalah lebih
baik daripada berbuka sekiranya tidak mendatangkan mudarat. Namun, sekiranya
puasa itu memberi mudarat, maka berbuka puasa adalah lebih baik. Semoga Allah
memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama.
Semoga setiap amalan kita diredhai Allah SWT hendaknya. Selamat beramal dan semoga kita akan berjumpa lagi dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang. Maafkan salah dan khilaf saya sepanjang penulisan kali ini.
salam sayang,
uswah